Selepas seminggu menjalani proses transformasi, boleh dikatakan hanya 30% anak pokok kami hidup dengan segar. Sebagai pengusaha yang baru belajar dan mentah dengan pengalaman, kami tidak mudah berputus asa dan kami anggapkan ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dalam bidang yang baru kami terokai ini. Antara yang kami hadapi ialah masalah daun menjadi sedikit kuning, daun dimakan serangga, anak pokok tumbang di dalam polybag dan terdapat juga anak pokok yang layu. Setelah dikaji punca-punca masalah, kami dapati daun menjadi kuning adalah disebabkan kekurangan baja, manakala anak pokok tumbang adalah kerana menanam anak pokok terlalu dalam semasa memindahkan ke polybag dan anak pokok layu kerana saluran dripper yang tersumbat lalu menyukarkan baja dan air sampai ke anak pokok tersebut. Daun yang dimakan serangga telah dibuang dan kesemua pokok telah diberi racun serangga mengikut kadar yang telah ditetapkan. Anak pokok yang tumbang dan layu dicabut dan dibuang, seterusnya digantikan dengan anak pokok yang baru. Bagi daun yang kuning, kami telah tambahkan sedikit baja bagi mengawal keadaan pokok tersebut. Alhamdulillah, selepas seminggu dirawat, daun pokok cili tersebut telah menjadi hijau kembali dan semakin mengeluarkan daun yang lebat.
TIPS: Sewaktu memindahkan anak pokok ke dalam polybag, jangan tanam anak pokok terlalu dalam. Cukup dengan menekan sedikit sahaja agar tidak berlaku masalah anak pokok tumbang. Dan yang penting, sewaktu pengairan dan pembajaan dilakukan, luangkan sedikit masa untuk memeriksa keadaan saluran dan dripper pada setiap pokok. Pastikan kesemuanya berfungsi dengan baik.
13 June 2009
Keadaan anak pokok selepas seminggu dipindahkan ke dalam polybag.
No comments:
Post a Comment